Karangan Langkah Memupuk Semangat Patriotik

Contoh Karangan Langkah Memupuk Semangat Patriotik

| | |

Anggota masyarakat kita semakin tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Keadaan ini menunjukkan semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Apakah langkah yang dapat Memupuk Semangat Patriotik?

Langkah-langkah Memupuk Semangat Patriotik

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Memupuk semangat patriotik sejak dari bangku sekolah

Sebenarnya terdapat pelbagai cara yang boleh dijalankan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Antranya ialah memupuk semangat patriotik sejak dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Pengaruh guru di sekolah turut beperanan penting dalam usaha menyemai semangat patriotik dalam jiwa rakyat negara ini semenjak kanak-kanak. Hal ini kerana guru-guru yang mengajar di sekolah boleh menekankan unsur-unsur patriotik di dalam kelas. Mereka perlu mendorong kanak-kanak lahir perasaan bangga dan syukur terhadap negara serta cinta akan negara. Contohnya , pihak sekolah boleh mengadakan program seperti sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah, nyanyian Lagu Negaraku semasa perhimpunan dan sebagainya. Guru-guru juga boleh menerapkan semangat patriotik semasa berada dalam mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Moral. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa.

Peranan ibu bapa sebagai teladan

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk memupuk semangat patriotik dalam sanubari anak-anak. Anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Kanak-kanak akan ingat pada pengajaran dan ikut kata ibu bapa dan sikap yangdiamalkan semasa kecil biasanya akan kekal hingga mereka dewasa. Oleh sebab itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan semangat patriotik dan menyebabkan remaja semakin alpa dan lalai tentang tanggungjawab mereka terhadap tanah air tercinta ini. Selain itu, ibu bapa juga harusnya mendidik mereka tentang sejarah kemerdekaan negara dan kepahlawanan tokoh-tokoh terkenal yang berjuang demi tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa mesti mengibarkan bendera bersama-sama anak-anak ketika sambutan hari kemerdekaan negara. Ibu bapa dan anak-anak juga boleh melawat tempat-tempat bersejarah tanah air semasa cuti sekolah dan sebagainya. Segala semangat patrotik yang disemaikan dalam jiwa bakal pemimpin negara turut akan diingati dan dipraktikkan oleh mereka pada masa hadapan.

Kempen semangat patriotik antara masyarakat

Seterusnya, pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran tentang menerapkan semangat patriotik antara masyarakat. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pelbagai pertandingan boleh dianjurkan sempena bulan penghayatan merdeka. Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan ini bukan sahaja semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita seperti sambil menyelam minum air. Sebagai contoh, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara. Sekiranya pihak yang bertanggungjawab mengambil peranan masing-masing, semangat patriotik dapat diterapkan dalam diri masyarakat.

Generasi muda menyertai program kerajaan

Akhir sekali, generasi kini perlu menyertai program yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Program yang seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan dapat memupuk semangat patriotik kepada mereka ke arah cinta akan negara. Pelatih-pelatih akan dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan hormat-menghormati. Pelatih akan bercampur gaul dengan pelatih lain yang berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik seperti pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kerajaan dan kedaulatan negara.

Penutup Karangan Semangat Patriotik

Kesimpulannya, semangat patriotik sangat penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negara. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam generai akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *