Mengatasi Masalah Disiplin

Contoh Karangan Mengatasi Masalah Disiplin

| |

Masalah disiplin sekolah merupakan masalah yang menjadi duri dalam daging di masyarakat kita. Huraikan peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin di sekolah.

Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Disiplin di Sekolah

Pada alaf pasca-2020 masalah disiplin masih lagi menjadi duri dalam daging kepada guru-guru di institusi pendidikan negara. Apabila disiasat dan diselidik, kebanyakan masalah disiplin berlaku di sekolah adalah berpunca dari rumah. Kesibukan ibu bapa bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka menyebabkan masalah disiplin berlaku di sekolah. Oleh itu, ibu bapa perlulah bekerjasama dengan pihak sekolah menangani masalah disiplin yang semakin melampau bagai cacing naik ke mata. Persoalan yang perlu kita fikirkan ialah, apakah peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin di sekolah?

Ibu bapa meluangkan masa bersama anak

Salah satu peranan ibu bapa yang signifikan dalam masalah disiplin ialah ibu bapa hendaklah meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Mereka hendaklah bijak membahagikan masa kerja dengan masa bersama dengan keluarga. Mereka hendaklah makan bersama-sama anak pada waktu malam sambil menanyakan hal yang berkaitan sekolah. Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak berasa disayangi dan dihargai oleh ibu bapa. Dengan cara ini, anak-anak yang mendapat perhatian dan kasih sayang yang sempurna, tidak akan melakukan perbuatan yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa mereka dengan melakukan tindakan melanggar peraturan sekolah.

Ibu bapa memberi didikan agama

Selain itu, ibu bapa hendaklah memberi didikan agama kepada anak-anak. ibu bapa seharusnya menghantar anak belajar agama di sekolah-sekolah agama. Perkara yang paling penting ialah ibu bapa hendaklah menunjukkan qudwah hasanah kepada anak-anak agar mereka mencontohi segala tingkah laku kita seperti peribahasa yang menyebut bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagai contoh ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke surau untuk bersolat jemaah dan mendengar ceramah agama. Keadaan ini akan membentuk peribadi mulia anak-anak jika dilatih sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Secara tidak langsung, masalah disiplin di sekolah dapat diatasi dengan mudah apabila para ibu bapa mengambil tindakan yang sama demi memastikan masalah disiplin tidak berlaku di sekolah.

Ibu bapa memantau pergerakan anak

Di samping memberi didikan agama, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak dengan mengenali rakan mereka. Dengan cara ini ibu bapa dapat mengenali mereka dan merapatkan hubungan dengan rakan anak-anak seterusnya dapat memantau pergerakan anak mereka. Langkah bestari ini akan memudahkan ibu bapa mengetahui aktiviti anak-anak di sekolah melalui rakan anak-anak. Perkara seperti ini dapat membantu pihak sekolah mengatasi masalah disiplin. Kerjasama daripada ibu bapa amat perlu bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah disiplin.

Ibu bapa bersikap proaktif dalam kegiatan sekolah

Dalam isu yang sama, ibu bapa hendaklah bersikap proaktif dalam kegiatan di sekolah. Mereka hendaklah aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menyuarakan pandangan atau buah fikiran untuk kebaikan semua pelajar. Ibu bapa yang aktif di sekolah akan dapat memantau sendiri pergerakan anak mereka di sekolah tanpa perlu melibatkan orang lain. Malah hubungan ibu bapa dengan guru akan bertambah baik apabila mereka saling bekerjasama dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan pelajar. Jika anak-anak melakukan kesalahan di sekolah, ibu bapa dapat mengetahui masalah tersebut dengan segera. Oleh itu, tindakan proaktif ibu bapa dapat menjamin masalah disiplin dapat diatasi dengan baik ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Penutup Karangan Masalah Disiplin

Secara keseluruhannya, masalah disiplin sekolah bukanlah semata-mata masalah sekolah dan ibu bapa sahaja malah merupakan masalah setiap kelompok masyarakat. Maka semua pihak perlu bermuhasabah untuk mencari penyelesaian terbaik demi melahirkan generasi berakhlak mulia yang bakal memimpin negara.


Contoh Karangan: Kepentingan Perpaduan Kaum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *