Karangan Cara Mengekalkan Permainan Tradisional

Karangan SPM: Cara Mengekalkan Permainan Tradisional

| |

Permainan Tradisional merupakan budaya yang penting tetapi sudah dilupai oleh remaja. Huraikan cara untuk mengekalkan permainan tradisional dalam kalangan remaja.

Cara Mengekalkan Permainan Tradisional

Congkak, wau, gasing dan batu seremban merupakan sebahagian daripada permainan tradisional yang pupus ditelan zaman. Permainan ini mula dilupai oleh generasi sekarang apabila permainan moden menguasai pasaran. Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan permainan moden ini boleh dimain di mana-mana sahaja dengan sesiapa sahaja tanpa perlu kita kenali pihak lawan. Namun permainan tradisional ini masih lagi ada peminatnya tersendiri. Mungkin ramai masih tidak mengetahui bahawa permainan tradisional memberi banyak kebaikan kepada generasi muda. Oleh itu usaha tertentu perlu dilakukan untuk mengekalkan permainan tradisional. Persoalannya, apakah tindakan yang wajar untuk mengekalkan permainan tradisional?

Aktiviti kokurikulum di sekolah

Peranan utama dalam usaha mengekalkan permainan tradisional ialah peranan sekolah dari aspek aktiviti kokurikulum. Permainan tradisional hendaklah dijadikan sebahagian daripada kompenan utama dalam senarai kokurikulum. Unit Kokurikulum hendaklah mewujudkan Kelab Permainan Tradisional dan kelab ini hendaklah wajib disertai pelajar. Tindakan ini bertujuan agar semua pelajar di sekolah akan menyertai kelab tersebut seterusnya mengenali permainan tradisional. Secara tidak langsung bakat dan kemahiran bermain permainan tradisional dapat dicungkil dalam kalangan pelajar.

Pusat akademik permainan tradisional

Selain peranan pihak sekolah, Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan juga hendaklah mencari idea untuk mengekalkan permainan tradisional. Pihak kementerian hendaklah mewujudkan pusat akademik dengan tujuan mengumpul pereka-pereka peralatan permainan tradisional. Hal ini dikatakan demikian kerana pereka peralatan ini kebanyakan daripada mereka yang telah tua dan uzur. Dengan adanya pusat akademik ini, pereka dapat melatih bakat-bakat baharu untuk meneruskan warisan sebagai pereka peralatan permainan tradisional. Dengan cara ini, permainan tradisional dapat dikekalkan sehingga akhir zaman.

Ibu bapa menyediakan permainan tradisional di rumah

Dari sudut yang berbeza pula, ibu bapa turut menjadi faktor untuk menggalakkan permainan tradisional dalam kalangan anak-anak. Mereka hendaklah menyediakan permainan tersebut di rumah dan menjadikan permainan tradisional seperti congkak sebagai permainan pada waktu lapang atau selepas makan tengah hari. Ibu bapa hendaklah menjadi contoh kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya, mereka hendaklah menggalakkan anak- anak bermain bersama mereka. Aktiviti ini akan menjadi seronok dan ceria dengan gelak tawa dan usik-mengusik antara ahli keluarga. Secara tidak langsung kasih sayang antara ahli keluarga dapat dipupuk dengan mudah oleh ibu bapa.

Produk permainan tradisional yang inovasi

Pada pendekatan yang terakhir pula, syarikat swasta yang mengeluarkan produk permainan tradisional hendaklah bijak mengatur strategi penjualan mereka. Mereka hendaklah mengeluarkan produk permainan tradisional yang mesra pengguna dengan memasukan ciri-ciri inovasi dalam permainan tradisional kerana kebanyakan permainan tradisional menggunakan bahan asas yang berat dan sukar ditemui. Sebagai contoh, congkak diperbuat daripada kayu yang berat dan sukar untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Jika dibuat dalam bentuk yang ringan seperti plastik dan boleh dicatum dan dicabut dengan mudah, pasti permainan ini akan menjadi permainan kegemaran anak-anak.

Penutup Karangan Permainan Tradisional

Secara keseluruhannya, usaha mengekalkan permainan tradisional bukanlah semata- mata terletak pada kerajaan sahaja, malah semua pihak harus memainkan peranan masing- masing kerana sebatang lidi mudah dipatahkan, seikat lidi sukar dipatahkan. Maka semua pihak hendaklah menzahirkan kerjasama ini dengan saling memberi sokongan terhadap usaha untuk mengekalkan permainan tradisional sehingga akhir zaman agar tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan.


Contoh Karangan: Kepentingan Perpaduan Kaum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *