Karangan Kepentingan Pertanian

Contoh Karangan SPM – Kepentingan Pertanian

| |

Sektor pertanian semakin kurang diminati oleh masyarakat di Malaysia. Persoalannya, apakah kepentingan pertanian kepada negara kita?

Kepentingan Pertanian terhadap Malaysia

Dasar kemakmuran bersama 2030 merupakan satu kesambungan Wawasan 2020 yang perlu diterjemah dalam skop yang lebih luas dan holistik mencakupi semua sektor khususnya sektor pertanian yang semakin tenggelam lantaran Dasar Pandang ke Timur terus menjadi kiblat negara yang lebih selesa bekerjasama dengan negara ‘matahari terbit’ tersebut.

Walaupun sektor pertanian telah mendapat perhatian mantan perdana Menteri Tun Abdulah Ahmad Badawi pada dua dekad yang lalu, namun sektor pertanian semakin kurang diminati. Oleh itu, demi memastikan sektor pertanian terus menjadi nadi kehidupan masyarakat, kita perlu mengetahui kebaikan dan kelebihan memajukan sektor pertanian. Persoalannya ialah, apakah kelebihan dan keistimewaan kepada pengusaha dan pengguna?

Sumber pendapatan kepada penduduk desa

Kepentingan pertanian yang tidak dapat dinafikan ialah sumbangan sektor ini sebagai sumber pendapatan kepada penduduk desa. Lazimnya, sektor pertanian ini dilakukan oleh orang kampung dalam skala kecil dan sederhana. Mereka bercucuk tanam atau mengerjakan sawah bendang dengan memperoleh pendapatan lumayan. Hasil kutipan pula akan ke kilang pemprosesan padi untuk dibungkus mengikut gred kualiti beras tersebut. Kitaran pekerjaan ini menujukkan bahawa sektor pertanian sangat signifikan untuk terus kekal dalam ekonomi kerana memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kampung

Bekalan bahan mentah dalam industri makanan

Sektor pertanian juga menjadi sumber bekalan bahan mentah dalam industri pemprosesan makanan. Keadaan ini telah membuka peluang besar dalam sektor pertanian negara untuk berkembang dengan lebih pesat lagi sejajar dengan permintaan dari dalam dan luar negara dalam sektor makanan. Sebagai satu tamsilan, serbuk kopi, serbuk koko, minyak sawit, dan rempah ratus merupakan hasil pertanian di negara kita yang telah mendapat permintaan tinggi di peringkat dunia lantaran revolusi industri makanan tersebut. Secara tidak langsung, banyak bekalan mentah dieksport ke luar negara terutama ke negara jiran seperti Singapura.

Memasuki pasaran komoditi di dunia

Dalam isu yang sama juga sektor pertanian negara telah berjaya memasuki pasaran komoditi di peringkat dunia. Pasaran susu getah dan minyak kelapa sawit telah berjaya menempatkan nama Malaysia sebagai pengeluar kedua terbesar di dunia. Hal ini menyebabkan hasil pertanian negara menjadi produk utama eksport negara. Secara tidak langsung, hasil pertanian ini telah berjaya memberi kesan pada ekonomi seterusnya meletakkan Malaysia setaraf dengan negara barat sesuai dengan peribahasa yang menyebut berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Jelaslah bahawa sektor pertanian berjaya menjadi produk eksport utama negara di peringkat dunia.

Pemeliharaan alam sekitar

Aspek pemeliharaan alam sekitar dapat direalisasikan dalam sektor pertanian. Kebanyakan hasil tani yang dieksport memiliki syarat ketat dalam aspek penggunaan bahan kimia dalam sayur-sayuran. Hal ini menyebabkan pengusaha pertanian menggunakan racun dan baja yang berasaskan alam semula jadi atau produk yang mesra alam.

Sektor pertanian akan menggunakan kawasan hutan yang tidak diusahakan lalu menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan yang bermanfaat kepada manusia kerana peribahasa ada menyebut berbudi pada tanah pasti akan dapat hasilnya. Dengan cara ini, tanaman pertanian mampu mengimbangi masalah yang berkaitan alam sekitar yang disebabkan oleh industri perkilangan. Tegasnya, sektor pertanian bukan sahaja menghasilkan pengeluaran komoditi negara malah turut mampu mengekalkan keseimbangan alam sekitar.

Penutup Karangan Kepentingan Pertanian

Sesungguhnya sektor pertanian merupakan sektor yang menjadi nadi denyut para petani di kampung untuk terus menjalani kelangsungan hidup. Tanpa sektor ini, pasti rakyat marhaen tidak mampu untuk meneruskan kehidupan mereka. Jika tidak mendapat bantuan kerajaan, petani bagai hidup segan mati tak mahu kerana mereka tiada kemampuan dari segi modal untuk meneruskan kegiatan pertanian. Oleh itu, kerajaan hendaklah cakna dalam usaha membantu petani agar mereka terus relevan dalam sektor pertanian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *