Karangan SPM Kepentingan Perpaduan Kaum

Karangan SPM – Kepentingan Perpaduan Kaum

| |

Malaysia merupakan negara yang mengamalkan integrasi kaum sejak dahulu lagi. Huraikan kepentingan perpaduan kaum terhadap negara kita.

Kepentingan Perpaduan Kaum terhadap Malaysia

Menjelang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Malaysia mengorak langkah dengan sasaran yang lebih holisitik merangkumi ketiga-tiga kaum utama dari segi ekonomi dan sosial. Walaupun Malaysia telah lama mengamalkan integrasi kaum sejak dahulu lagi, namun kewujudan Kementerian Perpaduan Negara pada 2020 telah menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia. Untuk itu, kita perlu menelusuri kepentingan perpaduan kaum agar kita sendiri dapat mengenali dan memahami erti perpaduan yang sebenarnya selaras dengan Rangka Tindakan Pelan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Perpaduan menjamin keamanan negara

Salah satu perspektif dalam isu perpaduan kaum ialah perpaduan atau integrasi menjamin keamanan negara. Hal ini bertujuan menjaga kepentingan setiap kaum serta menjamin keselamatan negara dan rakyatnya daripada ancaman musuh. Kesemua peristiwa hitam yang pernah berlaku di dalam negara telah menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia untuk terus menikmati kehidupan dengan mengamalkan semangat perpaduan, bertoleransi dan bekerjasama dalam segenap aspek. Maka yang buruk jadi sempadan, yang baik jadi teladan. Dengan cara itu, rakyat akan dapat menikmati kemakmuran bersama seperti yang direncanakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu menjaga hubungan antara kaum agar terbina perpaduan demi keamanan negara.

Perpaduanmenjamin kemajuan ekonomi

Dari perspektif yang berbeza pula, perpaduan kaum dapat menjamin kemajuan ekonomi. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat kerjasama bagai aur dengan tebing antara kaum di Malaysia telah menyebabkan negara mampu mencapai kemajuan dalam ekonomi. Sebagai contoh, kedai runcit di kampung lazimnya dikuasai oleh kaum Cina. Mereka mendapatkan hasil kampung dari orang Melayu untuk dijual. Pada masa yang sama kedai tersebut dikunjungi oleh bangsa Melayu, Cina dan India. Kitaran perniagaan ini berlaku dalam tiga bangsa utama yang menyebabkan hubungan ketiga-tiga bangsa ini amat akrab. Keunikan ini menjadi punca pelabur asing berminat untuk melabur dalam negara.

Dijadikan produk pelancongan

Bukan itu sahaja, perpaduan boleh dijadikan produk pelancongan. Melalui kepelbagaian agama dan budaya, setiap bangsa dan suku kaum di Malaysia mempunyai keunikan budaya yang boleh ditonjolkan dalam pakej pelancongan ke Malaysia. Sebagai contoh, keunikan budaya Baba dan Nyonya di Melaka menjadi tarikan pelancong luar negara untuk melihat dan merasai budaya tersebut. Keunikan pelbagai budaya merupakan inti pati perpaduan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia lalu menjadi produk pelancongan negara. Secara tidak langsung ekonomi negara akan meningkat.

Menjaga imej negara

Perpaduan juga sangat penting untuk menjaga imej negara. Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadi ahli Badan Bangsa Bersatu sering mendapat perhatian atas kebijaksanaan pemimpin negara yang berjaya mengawal situasi yang melibatkan keselamatan negara. Malah, perpaduan juga menjadi faktor pemimpin negara dihormati oleh pemimpin dunia sehingga mereka memilih pemimpin Malaysia sebagai pengantara dalam pelbagai konflik seperti konflik di selatan Filipina antara kerajaan Filipina dengan pejuang pembebasan Mindanao (MILF). Kesemua bukti ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam menjaga dan mengurus perpaduan negara. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah menghargai nilai perpaduan ini kerana negara yang baik lahir daripada rakyat baik.

Penutup Karangan Kepentingan Perpaduan Kaum

Secara keseluruhannya, perpaduan kaum bukanlah hasil daripada satu malam sahaja tetapi perpaduan ini terhasil daripada keringat pemimpin dan darah pejuang terdahulu yang tidak dapat dibayar atau dibalas dengan wang. Oleh itu, semua pihak hendaklah bertanggungjawab menjaga dan meneruskan amanah perjuangan ini agar perpaduan kaum dapat dihayati oleh generasi akan datang. Sesungguhnya, negara ini mempunyai corak danacuan tersendiri yang perlu kita ikuti demi menjamin Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dikecapi dan dinikmati semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *