Contoh Karangan SPM: Faedah Bersukan

| |

Remaja harus menjalani aktiviti bersukan dalam kehidupan mereka. Apakah faedah bersukan terhadap masyarakat kita?

Faedah Bersukan

Kesibukan rakyat Malaysia bekerja memenuhi tuntutan dan tanggungjawab di pejabat menyebabkan mereka kekurangan masa untuk melakukan aktiviti sukan sehingga memberi kesan terhadap kesihatan diri mereka. Gaya hidup tidak sihat ini mestilah ditinggalkan dengan melakukan aktiviti bersukan bersama dengan rakan sekerja atau ahli keluarga agar sama-sama dapat menikmati faaedah bersukan. Persoalannya, apakah faedah yang akan dinikmati oleh mereka yang bersukan?

Menyihatkan tubuh badan

Faedah bersukan yang paling utama ialah bersukan dapat menyihatkan tubuh badan. Melalui aktiviti bersukan, kita dapat mengeluarkan peluh yang akan turut menyahkan toksin di dalam badan kita. Hal ini menyebabkan kita akan berasa lebih segar selepas bersukan. Peribahasa Melayu ada mengatakan badan cergas otak cerdas, peribahasa ini menjelaskan bahawa seseorang yang cergas badannya maka pemikirannya akan cerdas. Maka aktiviti bersukan ini akan dapat membantu seseorang berfikir dengan lebih rasional dengan idea-idea yang bernas. Terbukti bahawa, aktiviti bersukan akan dapat menyegarkan badan di samping meningkatkan kekuatan fizikal.

Membentuk disiplin diri yang tinggi

Selain faedah tersebut, bersukan juga dapat membentuk disiplin diri yang tinggi. Aktiviti bersukan memerlukan disiplin diri yang tinggi. Bagi seorang ahli sukan, mereka memiliki jadual latihan yang ketat. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu mengikut jadual pemakanan seimbang yang telah disyorkan oleh doktor pakar pemakanan dan diet. Bagi masyarakat biasa yang mengamalkan latihan sukan turut akan mengikut jadual dan mematuhi setiap disiplin bagi mencapai objektif bersukan. Setiap orang berbeza objektif bersukan, maka mereka perlu mencapai objektif tersebut dengan disiplin yang tinggi. Oleh itu, bersukan akan melatih diri kita untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Memupuk perpaduan masyarakat

Malah, aktiviti bersukan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Aktiviti bersukan seperti permainan bola sepak merupakan aktiviti yang merentas sempadan perkauman dan bangsa. Sejarah pernah mencatatkan pemain bola sepak negara terdiri daripada pelbagai nama dan kaum. Mokhtar Dahari, R. Arumugam, dan Soh Chin Aun merupakan legenda pemain negara yang menjadi bukti sukan sebagai agen perpaduan. Mereka telah menjadikan rakyat Malaysia bersatu tanpa mengira fahaman politik, warna kulit dan anutan agama dengan memberikan sokongan padu ketika perlawanan bola di peringkat dunia. Jelas menunjukkan bahawa aktivti bersukan mampu membentuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat.

Membina jaringan hubungan sosial

Di samping memupuk perpaduan, aktiviti bersukan dapat membina jaringan hubungan sosial yang lebih luas. Lazimnya, hubungan kejiranan hanya sekadar bertegur sapa dan berbual- bual sahaja tetapi apabila jiran tetangga terlibat sama dalam satu aktiviti sukan maka hubungan kejiranan menjadi lebih akrab kerana jiran tetangga berkongsi minat yang sama dalam bersukan. Hal ini akan menjadikan hubungan kejiranan lebih baik malah mereka akan saling menolong apabila menghadapi kesusuahan. Keadaan ini menyebabkan mereka saling mengatur program antara jiran tetangga agar mereka dapat bersua dan berbual-bual tentang kejiranan dan keluarga masing-masing. Sesungguhnya, benarlah bahawa, bersukan mampu mengeratkan ukhuwah sesama penduduk setempat.

Penutup karangan Faedah Bersukan

Secara keseluruhannya, aktiviti bersukan merupakan satu aktiviti yang dapat memberi pelbagai faedah kepada peminat sukan. Benarlah, hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam, begitu juga dalam isu ini, hanya mereka yang bersukan sahaja dapat mengetahui faedah bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memulakan tugas dan tanggungjawab untuk memastikan anak-anak melakukan aktiviti sukan agar pembentukan remaja sebagai pemimpin negara pada masa akan datang dapat mencapai matlamat yang sebenarnya .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *